Ianya sudahpun beberapa minggu sejak kunjungan selama enam minggu kami ke Asia. Sepanjang bulan Jun dan Julai, kami mengharungi perlawanan di Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Singapura, diikuti dengan kem latihan di Guangzhou, China. Inilah kali pertama Gabby dan saya mengikuti perjalanan sebegini lama, dengan yang sebelum ini hanya selama 4 minggu. Walaubagaimanapun, disebabkan kami terlepas musim ketiga akibat kecederaan yang dialami oleh Gabby, kami merasakan perlu untuk memberikan diri kami peluang yang terbaik untuk melayakkan diri ke kejohanan HSBC World Tour pada akhir tahun ini dan semestinya untuk mengekalkan kedudukan kami pada kedudukan tangga kesepuluh teratas.

Secara keseluruhannya, kami sangat berpuas hati dengan kunjungan kami ke Asia, yang sudah semestinya ada asam garamnya. Ini termasuklah permainan separuh akhir yang sengit di Malaysia serta kejayaan untuk sampai ke perlawanan akhir di Thailand. Namun, kami tetap terfokus pada matlamat kami yang utama, Kejohanan Dunia Nanjing. Sepanjang masa kami di Asia, kami memastikan yang kami memberi sokongan yang padu kepada satu sama lain dan kami tidak lupa juga untuk meluangkan masa untuk berehat sambil makan-makan (kami sempat juga berjemur!) untuk memastikan yang kami sentiasa segar dan bersedia. Walaupun kami kepingin pulang, kami berasa sangat bersyukur kerana dapat mengharungi cabaran-cabaran besar ini bersama. Kami tahu yang ianya akan lebih sukar tanpa sokongan satu sama lain.

Kami tiba di Nanjing dengan seluruh pasukan England dalam keadaan yang teroptima, dan, dengan sesi latihan kecil di Guangzhou, kami berpeluang berlatih dengan pasukan sparring tempatan. Ini juga salah satu cara yang baik untuk menyediakan diri untuk ke Kejohanan Dunia. Kami juga sempat melihat kelab-kelab lain serta bertemu dengan para peminat kami dari China. Kami sentiasa gembira melihat betapa terkenalnya sukan badminton dan berapa ramai yang berasa seronok memainkannya.

Walaubagaimanapun, setelah seminggu beraksi dengan cukup baik, kami tidak dapat mewujudkan semula atmosfera kemenangan seperti di Glasgow tahun lepas, kami terpaksa berundur tanpa sebarang pingat kali ini. Kami tewas di suku akhir, dan walaupun kami tidak bermain pada tahap 100%, kami berbangga dengan pencapaian kami dan lawan kami dari China lebih bersedia kali ini.

Sejak itu, Gabby dan saya mengambil keputusan bercuti di Spain. Sungguh lega rasanya dapat berehat setelah seminggu bertungkus-lumus dan menguji ketahanan diri. Walaupun kami perlukan masa cuti yang panjang untuk benar-benar meninggalkan atmosfera kejohanan, kami cepat menbiasakan diri. Kami meluangkan masa berjemur di panas matahari, melawat pantai-pantai cantikserta menikmati makanan yang enak-enak. Dan semua ini akan memberi kami tenaga untuk memperbaharui usaha kami di kejohanan seterusnya.

Ketika bercuti, kami tidak lupa juga untuk memastikan yang kami sentiasa dalam keadaan fizikal yang bersedia. Kami sentiasa melakukan larian, reenangan dan juga menghabiskan masa di gim (kami tidak memberi peluang kepada semua makanan enak itu untuk menggemukkan kami) – ini juga bermakna yang kami akan dapat kembali ke sesi latihan dengan segera dan boleh bermula secara intensif serta-merta.

Setelah kembali ke England, fikiran kami mula melayang ke arah perjalan yang menanti di Jepun, China dan Korea. Kami sangat mengharapkannya dan kami tidak sabar menjejak ke Jepun. Ianya sentiasa sebuah tempat yang indah dan seronok dikunjungi serta merupakan tempat asal penaja utama kami, Yonex. Mereka, sebagai penaja, sentiasa mengambil berat tentang kami dan memastikan yang kami sentiasa bersedia dengan peralatan dan kit perlawanan baru. Kami juga tidak lupa berkunjung ke restoran kegemaran kami di Toyo, iaitu Nobu. Kalau anda ada kesempatan, jangan lupa ke sana : www.noburestaurants.com/tokyo

Kita sudah hampir ke penghujung buat kali ini dan kita pasti akan bertemu lagi segera. Dalam kepergian kami menghadapi lawan di seluruh dunia, kami sentiasa akan memuat naikkan segala aksi kami yang terbaru di laman-laman sosial kami, jadi jangan lupa mengikuti kami di sana. Dan kelihatannya seperti kami akan berbincang tentang pemain-pemain kegemaran Gabby dan apa yang menjadi inspirasinya untuk terus berjuang di arena badminton.

Jumpa lagi,
Chris

(Gambar dari : Badminton Photo)